Thursday, 29 August 2019

Terapi Lokomotor, Bukan Lokomotor dan Kemahiran Sosial Di Tempat Awam Di Homestay Dorani, Kuala Selangor

Pada 29 Ogos 2019, PPKI SKTPP telah menjalankan lawatan ilmiah di beberapa tempat yang menarik di sekitar daerah Kuala Selangor bagi aktiviti terapi lokomotor dan bukan lokomotor serta kemahiran sosial di tempat awam. Aktiviti ini turut disertai oleh para waris dan ibu bapa. Antara tempat yang dilawati ialah Kilang Nata de Coco, Kilang Memproses Minyak Kelapa Dara (Moh Food Enterprise) dan Homestay Dorani yang terletak di Sungai Besar, Kuala Selangor.

Di Kilang Nata de Coco, kami disambut mesra oleh staf kilang dan dibawa untuk menyaksikan proses nata de coco dihasilkan melalui proses penapaian air kelapa. Kami juga diberi peluang untuk merasa nata de coco mentah yang belum diproses untuk dipasarkan. 





Kemudian kami melawat pula kilang memproses minyak kelapa dara. Di sana kami ditunjukkan cara-cara memproses kelapa iaitu dari proses memarut, menyangai dan dimasukkan ke dalam mesin khas untuk menghasilkan minyak kelapa dara. Kami juga diberi peluang untuk merasa minyak yang baru sahaja dihasilkan. Kami dimaklumkan bahawa terdapat pelbagai khasiat dengan menggunakan minyak kelapa dara untuk kegunaan luaran dan dalaman.

Selepas itu, kami melawat pula kilang memproses pelbagai jenis kerepek. Terdapat pelbagai jenis kerepek tradisional yang dijual dan kami sekali lagi bertuah kerana diberi peluang untuk merasa kerepek yang dihasilkan. Kami sempat memilih dan membeli kerepek yang dijual. Kami juga makan tengah hari di situ.





Selesai sahaja makan tengah hari dan sesi fotografi, kami bertolak ke Homestay Haji Dorani. Di sana kami melakukan pelbagai aktiviti yang menarik seperti mencanting batik, bermain layang-layang, makan nasi ambeng dan juga menangkap ikan keli di sawah. Murid-murid, guru dan ibu bapa sangat teruja dengan aktiviti di perkampungan sawah yang belum pernah dilakukan sebelum ini.






Setelah penat berseronok kami pun bersiap sedia untuk pulang ke sekolah. Kami sangat seronok dan berharap aktiviti dan terapi yang dijalankan dapat memberi manfaat kepada murid-murid dan memberi pengalaman baharu kepada semua. 

No comments:

Post a Comment

Gotong Royong Madani 2024

  Bertarikh 11 Mei 2024 (Sabtu), telah berlangsungnya gotong royong madani peringkat SK Taman Putra Perdana. PPKI juga turut membentuk sebua...