Assalamualaikum dan salam sejahtera
Alhamdulillah, setelah sekian lama tiada program kerana wabak COVID-19 serta mematuhi SOP, maka telah berlangsungnya satu program sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020. Program telah berlangsung selama 3 hari berturut-turut bermula pada hari Rabu (2 September 2020) sehingga Jumaat (4 September 2020).
Program ini dirangka bagi melahirkan murid yang menghayati kemerdekaan khususnya murid dan guru PPKI serta seluruh warga sekolah amnya. Selain itu, melalui program ini, diharap murid dapat menambahkan kecintaan kepada negara dan menghargai pengorbanan pejuang kemerdekaan yang terdahulu.
Bagi mencapai objektif tersebut, pelbagai aktiviti telah dibuat bersesuaian dengan tahap dan kemampuan murid.
Bermula dengan dengan tahap 1 membuat aktiviti membuat logo Malaysia Prihatin menggunakan teknik kolum daripada biji sagu. Tahap 2 pula membuat aktiviti menggunakan teknik montaj bertemakan kemerdekaan. Murid juga ditayangkan dengan video berkaitan barisan Perdana Menteri bermula daripada Perdana Menteri 1 hingga yang terkini.
Seterusnya pada hari kedua, berlangsung aktiviti mengecap bendera menggunakan tangan, aktiviti menghias kek cawan tema merdeka serta aktiviti nyanyian lagu kemerdekaan secara solo.
Pada hari terakhir aktiviti, hampir kesemua murid hadir dengan memakai pelbagai baju tema kemerdekaan. Suasana kelihatan sangat meriah dan berwarna-warni. Dalam kemeriahan, SOP masih diterapkan bagi mengelakkan sebarang kemungkinan.
Kemuncak program diakhiri dengan simbolik pemotongan kek tema kemerdekaan dan penyampaian hadiah kepada para pemenang.
Murid kelihatan sangat bersemangat dan dapat menghayati erti kemerdekaan dengan lebih baik.